I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, May 18, 2011

KARNIVAL GeMS MENCIPTA SEJARAH KARNIVAL TERBESAR DI SABAK BERNAM, KONSERT GeMS MERIAH

Meriah dan santai. Begitulah yang dapat digambarkan kepada acara Konsert dan Sembang Santai Generasi Idaman Selangor (GeMS) di Dataran Tonggak 10, Sungai Besar, Sabak Bernam pada malam terakhir Karnival Jelajah Generasi Idaman Selangor Siri 7 : Daerah Sabak Bernam yang berlangsung baru-baru ini.

Konsert dan sembang santai diserikan dengan kehadiran Shahir AF, Akil Hayy, Dakmie serta peserta Raja Lawak 5 seperti kumpulan R2, Nazmi dan Black. Konsert dan sembang santai dikendalikan oleh motivator remaja, Akhwan Afandi. Kelainan konsert ini ialah dengan menampilkan mesej kepada remaja berkenaan isu gejala sosial seperti rempit, pergaulan bebas, penagihan dadah dan sebagainya.

Kebanyakan penonton yang dianggarkan lima ribu orang di sekitar Sabak Bernam yang hadir pada malam itu sangat berpuas hati kerana bukan sahaja dapat melihat artis pujaan mereka secara dekat malah artis tersebut juga memberi nasihat mengenai kehidupan remaja seharian. Antaranya contoh konsep kasih sayang yang sebenar iaitu kasih sayang kepada Allah S.W.T sebagai pencipta. Penutupnya, kelainan ditampilkan iaitu Akhwan Afandi bersama Akil Hayy mengepalai munajat dan doa beramai-ramai supaya Allah SWT melindungi negeri Selangor daripada bala bencana dan kerosakan akhlak anak muda dan zikir taubat.

Malalui Karnival Jelajah GeMS ini juga, satu slot penting yang diselitkan bersama iaitu Majlis Dialog GeMS yang diadakan antara YB Dr. Hajjah Halimah Ali, selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Sosial Negeri Selangor bersama Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial peringkat Daerah Sabak Bernam yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Sabak Bernam sebagai tuan rumah. Sesi dialog ini disertai penghulu dan ahli JKKK serta wakil Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Pejabat Kesihatan Daerah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam Selangor, Pejabat Agama Islam Daerah dan Lembaga Zakat Selangor.

Majlis dialog ini bertujuan berkongsi input-input mengenai gejala sosial terkini yang berlaku di daerah Sabak Bernam serta cara menangani masalah tersebut secara menyeluruh dan bersepadu antara agensi kerajaan dengan pimpinan masyarakat. Pelbagai perkara dapat dikongsi bersama antara pimpinan masyarakat setempat, agensi kerajaan dan kepada pimpinan tinggi Kerajaan Negeri Selangor.

Selain itu, Forum GeMS juga telah diadakan pada malam sebelumnya dengan kehadiran panel Ustaz Zamri (Mari Mengaji), Ustaz Syukri (Halaqah) dan juga Kamal Affendi (Penganalisis Jenayah) yang dipengerusikan oleh Ustaz Sallehin Muhyi. Antara perkara yang dibincangkan adalah berkenaan hasrat menjadikan Selangor sebagai Negeri Idaman yang bebas gejala sosial dan perkara-perkara negatif di kalangan remaja dan belia pewaris masa depan negara.

Kehadiran peserta yang dianggarkan hampir dua ribu orang yang terdiri daripada ibu bapa dan remaja telah mendapat input yang berguna untuk ibu bapa dan remaja dalam menghadapi masalah identiti, sosial dan juga jatidiri.

Peserta cilik Pertandingan Bercerita Generasi Idaman Selangor mempersembahkan cerita dengan penuh bergaya.

YB Dr Halimah Ali menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Motosikal Tercantik dalam Konvoi Jelajah GeMS Sabak Bernam.

YB Dr Halimah Ali bersama Pegawai Daerah dan Orang Besar Daerah Sabak Bernam meninjau motosikal klasik selepas Majlis Perasmian Karnival GeMS.

YB Dr Halimah Ali bergambar bersama penuntut Kolej INPENS Kuala Selangor yang menyertai OPKIM INPENS di Karnival Jelajah GeMS Sabak Bernam.

YB Dr Halimah Ali melawat 'booth' OPKIM Kolej INPENS yang menawarkan khidmat rawatan muka secara percuma yang dilakukan sendiri oleh penuntut INPENS Kuala Selangor.

Dari kiri ; Shahir AF, peserta Raja Lawak; Black, R2, Nazmi Raja Lawak, Dakmie, Akil Hayy dan Ustaz Akhwan naik ke pentas untuk munajat zikir taubat dan bacaan doa penutup.

Ustaz Akhwan Afandi dan Dakmie memberikan soalan cepumas kepada kanak-kanak ini dan memberikan hadiah istimewa.

Peminat-peminat berebut-rebut untuk mengambil gambar Shahir AF dari dekat.

Forum GeMS dari kiri ; Ustaz Shukri, Sdr. Kamal Affendi, Ustaz Zamri dan Ustaz Sallehin Mukhyi.

Muadz, ahli kumpulan Far East dan ahli kumpulan Wildan menyampaikan lagu dan nasyid pembukaan Forum GeMS.


No comments:

Post a Comment