I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, April 6, 2011

2,000 Hadir Rai Majlis Perkahwinan Perdana Libat 44 Pasangan

http://www.selangorkini.com.my/my/berita/31070

Saturday, 26 March 2011

KLANG, 26 Mac – Program Majlis Perkahwinan Perdana 2011 anjuran kerajaan negeri menghimpunkan 44 pasangan pengantin baru dalam satu majlis keraian membawa pendekatan baru dalam penganjuran majlis perkahwinan di negara ini.

Majlis yang berlangsung di Masjid Nurul Amin, Kampung Delek di sini yang bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan menjalin ikatan perkahwinan berlangsung meriah dengan lebih 2,000 hadirin membanjirinya.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan merangkap Penaung Program, Dr Halimah Ali berkata program tersebut dijalankan buat kali pertama di Selangor adalah satu usaha kerajaan negeri membantu rakyat berbelanja dengan berhemah serta mengeratkan silaturrahim sesama umat Islam dan yang lain menerusi majlis yang bertema “Perkahwinan Menjana Mawaddah”.

Katanya, melalui cara ini sekumpulan pengantin baru dapat disatukan dalam satu majlis dan mereka semua akan dibekalkan dengan pakaian serta beberapa kelengkapan lain yang sama.

“Objektif utama program ini adalah untuk menbendung isu gejala sosial yang semakin membimbangkan seperti kelahiran anak luar nikah, memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kebaikan dan ganjaran mempercepatkan perkahwinan serta melahirkan Generasi Idaman Selangor yang berilmu, berakhlak dan berkualiti melalui program Modal Insan Kerajaan Negeri.

“Yang penting juga dalam majlis ini adalah bacaan khutbah perkahwinan yang dibaca di mana kalau kita lihat dalam majlis perkahwinan yang lain tiada seperti ini iaitu memberi kesedaran kepada semua betapa pentingnya perkahwinan ini dalam kehidupan dan agama,” katanya dalam temubual di sini hari ini.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Exco Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hassan Ali dan Rodziah Ismail.

Dalam program julung kali ini katanya seramai 44 pasangan pengantin baru berjaya dikumpul dan berdasarkan kejayaan program itu pihaknya mungkin akan menganjurkannya ke daerah-daerah lain di negeri Selangor.

“Kita lihat menerusi cara ini akan memudahkan urusan perkahwinan dijalankan dan menghimpunkan seluruh ahli keluarga dalam satu majlis dan cara ini juga dapat menjimatkan belanja dan kos penganjuran majlis perkahwinan,” katanya.

Dr Halimah berkata, menerusi penganjuran majlis seperti itu diharap mampu melahirkan generasi muda yang memiliki jati diri dan akhlak terpuji serta mempunyai asas dan ilmu agama Islam yang tinggi yang boleh dijadikan panduan serta ikutan.

Dewasa ini jelasnya banyak berlaku perceraian akibat tiada pegangan diri yang kukuh terhadap agama serta tidak memahami tuntutan Islam dalam perkahwinan.

1 comment:

  1. bila nak ada program/majlis sebegini lagi?saya berminat nak ikut serta....

    ReplyDelete