I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, April 6, 2011

Selangor Perhebat Tangani Gejala Sosial -SelangorKini


http://www.selangorkini.com.my/my/berita/31298

Saturday, 02 April 2011

SHAH ALAM 2 April – Kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial terus mempergiatkan langkah menangani masalah sosial yang berlaku di negeri ini dengan pelbagai program dan aktiviti secara tersusun dan berterusan dari masa ke semasa.

Antara program yang dijalankan adalah Program Kempen Anti Zina yang terbukti mendatangkan banyak manfaat positif kepada masyarakat di negeri Selangor.

Exco Pendidkan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dalam sidang DUN berkata Program Kempen Anti Zina yang dilancarkan pada 31 Ogos tahun lepas telah mendatangkan hasil apabila statistik tangkapan mencatatkan pengurangan sebanyak 54 kes atau 40 peratus.

Seterusnya dalam jawapan kepada soalan diajukan ADUN Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil, beliau berkata, kerajaan negeri telah mengambil beberapa tindakan ke arah menjayakan program dilaksanakan seperti menjadikan dua kawasan sebagai kawasan fokus bagi perlaksaan Program Menangani Gejala Sosial iaitu Pangsapuri Sri Perantau, Klang dan Desa Kasih, Sabak Bernam.

Tambahnya, penubuhan Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial adalah bertujuan untuk membantu kerajaan negeri meminimumkan senario gejala sosial di Selangor dan menerusinya perancangan pelbagai program dibuat ke arah menwujudkan Generasi Idaman Selangor (GeMS).

“Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Sosial melibatkan pelbagai jabatan dan agensi serta berperanan untuk menjadi agen yang dapat menghasilkan perancangan strategik dalam meningkatkan usaha menangani gejala sosial secara efektif.

“Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM 1 juta bagi program menangani gejala sosial untuk dilaksanakan di peringkat negeri dan daerah,” katanya.

Dr Halimah berkata, setiap jabatan dan agensi terlibat seperti Pejabat Daerah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis dan Jabaatan Agama Islam Selangor (Jais) akan mengemukakan laporan perancangan, pelaksanaan dan pelan tindakan menangani gejala sosial dan membentangkannya di dalam mesyuarat jawatankuasa induk.

Katanya, hasil kerjasama dan komitmen daripada semua jabatan dan agensi itu sebanyak 31 Program Menangani Gejala Sosial yang berbentuk pendidikan ilmu agama, pembangunan dan pengajaran ke arah tatacara kehidupan harmoni telah berjaya dilaksanakan di semua peringkat daerah di Selangor.

“Program Jelajah GeMS diadakan di setiap daerah dan mendapat kerjasama daripada semua jabatan dan agensi terutamanya pejabat daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Program dan aktiviti yang dijalankan adalah seperti Seminar Keibubapaan, Kursus Jati Diri, Ceramah dan Dialog mengikut kategori usia, Seminar Kerjaya dan Keluarga, Kepimpinan Remaja atau Belia serta Kem Bina Sahsiah, aktiviti lasak dan sukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment